Prosess Menjadi ‘Professional Engineer’ atau Ir yang wajib diketahui

No automatic alt text available.

 

Mei 2010 saya ditemuduga. Nov 2017 saya menemuduga.

Hari ini 2 anak muda menjalani proses temuduga untuk bergelar jurutera professional. Jika lulus, maka dibawah Akta Jurutera, mereka dibenarkan memakai gelaran ‘Ir’ sebelum nama mereka.

Ir adalah singkatan kepada perkataan Ingenieur yang bermaksud jurutera.

Gelaran ini adalah pengiktirafan terhadap pengalaman dan pembelajaran seseorang jurutera dalam bidang kejuruteraan di bawah Perlembagaan Malaysia.

Untuk diiktiraf sebagai jurutera professional, seseorang jurutera perlu berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan seterusnya boleh menjalani proses temuduga melalui Lembaga Jurutera atau pun melalui The Institution of Engineers Malaysia atau IEM.

Lembaga Jurutera adalah satu organisasi yang ditubuhkan dibawah Akta Jurutera bagi tujuan penguatkuasaan kejuruteraan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kepentingan masyarakat terjaga.

IEM ditubuhkan dibawah Akta Pertubuhan dengan matlamat untuk mempromosi dan memajukan bidang kejuruteraan dalam apa jua disiplin serta menjadi pemudahcara bagi pertukaran informasi dan idea berkaitan kejuruteraan.

Lembaga Jurutera berpejabat di Kuala Lumpur manakala IEM mempunyai cawangan di setiap negeri.

IEM bertindak sebagai pemudah cara bagi Lembaga Jurutera dalam menguruskan peperiksaan jurutera professional dan juga kursus atau seminar kejuruteraan di seluruh negara.

Mengikut Akta Jurutera, seseorang jurutera boleh memohon untuk menduduki peperiksaan professional selepas 3 tahun berdaftar dengan Lembaga Jurutera dan mempunyai pengalaman berkaitan dengan disiplin yang dipohon.

Saya sendiri menjalani peperiksaan setelah 9 tahun bekerja. Masa tu umur saya 32 tahun. 10-15 tahun dulu, jarang pemohon berumur akhir 20an atau awal 30an. Rata-rata pemohon adalah dalam lingkungan umur akhir 30an atau awal 40an.

Sekarang ini, saya lihat, ramai anak-anak muda yang berumur akhir 20an atau awal 30an sedar untuk memprofessionalkan diri mereka.

Selain peranan yang dimainkan oleh Lembaga Jurutera dan IEM, kesedaran ini juga ditimbulkan dalam agensi-agensi kerajaan melalui peluang kenaikan pangkat jika mereka mempunyai status professional.

Selari dengan perkembangan zaman dan keperluan industri semasa, keperluan ilmu kejuruteraan yang lebih komprehensif serta berdaya saing telah timbul.

Kalau dulu, seseorang jurutera hanya melalui satu proses peperiksaan untuk membolehkannya mendapatkan cop mohor dan menghargakan khidmatnya, tetapi kini, seseorang jurutera perlu melalui dua proses peperiksaan.

Proses pertama adalah bagi mendapatkan status Professional Engineer atau PE melalui peperiksaan. Apabila lulus proses ini, seseorang jurutera boleh memakai gelaran ‘Ir’ dan boleh memakai cop mohor berbentuk heksagon. Beliau boleh mengesahkan dokumen tetapi khidmatnya tidak boleh dihargakan dan dijadikan orang yang bertanggungjawab memajukan plan untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkannya meletakkan tanda harga dan menjadi orang yang berkelayakkan memajukan pelan untuk kelulusan, beliau perlu menjalani proses kedua.

Proses kedua adalah proses dimana seseorang jurutera itu perlu menduduki peperiksaan yang lebih komprehensif yang akan menguji tahap kefahaman tentang undang-undang dan keperluan pihak berkuasa tempatan. Proses ini baru dilaksanakan pada tahun 2016. Jika lulus proses ini, beliau akan bergelar Professional Engineer with Practising Certificate atau PEPC. Cop mohor beliau berbentuk bulat.

Di Malaysia sekarang ini, jumlah ‘Ir’ setakat 2016 adalah sekitar 14,613 orang. 10,403 adalah PEPC dan 4,210 adalah PE.

Prosesnya agak rumit sekarang berbanding dulu. Bagi jurutera-jurutera muda, mungkin daya tahan untuk belajar semula masih tinggi. Tetapi bagi yang telah berumur, mungkin agak mencabar.

Hendak 1000 daya. Tak hendak 1000 dalih. InsyaAllah, ular yang menyusur akar takkan hilang bisanya.

Bukan semua jurutera memerlukan status professional untuk berjaya dalam hidupnya. Tetapi, alang-alang dah jadi jurutera, tidak salah mencuba.

In the end, we only regret the chances that we didn’t take. Fear is temporary, regret is forever!

 

Sumber: Ir Meor Shamsir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *