Majikan-majikan Malaysia Resah Dengan Cadangan Kerajaan Naikkan Cuti Bersalin

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) resah dengan cadangan kerajaan mahu sektor swasta menambah cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari seperti dilaksanakan perkhidmatan awam.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata keresahan itu berasas kerana penambahan cuti sebanyak 30 hari itu, akan meningkatkan kos syarikat kepada hampir 50 peratus, adalah satu peningkatan mendadak.

Katanya, kebanyakan majikan berpendapat, jika mahu meningkatkan bilangan cuti, kerajaan perlu membantu membayar gaji pekerja bagi tempoh tambahan 30 hari itu seperti mana diamalkan di Singapura ketika ini.

“Singapura juga sebelum ini memberi cuti selama 60 hari kepada pekerja swasta, tetapi kini kerajaan mereka sudah tingkatkan sehingga 82 hari, tetapi gaji tambahan selama 22 hari itu dibayar oleh kerajaan, bukannya majikan.

“Kita boleh berbincang bersama dengan kerajaan bagaimana boleh menyesuaikan kehendak baru ini dengan kehendak di sektor swasta, hasrat ini perlu diperhalusi.

“Secara keseluruhannya, saya berpendapat pihak swasta tidak akan berasa selesa dengan cadangan ini dan akan menentang sekiranya mahu ia diwajibkan secara undang-undang,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, amalan ketika ini sudah dianggap baik, malah lebih baik daripada apa dinikmati oleh perkhidmatan awam.

“Di swasta, tiada had cuti bergaji penuh untuk pekerja seperti dalam perkhidmatan awam yang ketika ini ditetapkan sehingga 300 hari sahaja.

“Di swasta, cuti bergaji penuh adalah sah untuk pekerja wanita melahirkan sehingga lima orang anak yang hidup. Jika, katakan pada kelahiran kelimanya, anaknya meninggal, dia masih dibayar gaji penuh selama dua bulan dan begitu juga pada kelahirannya yang kali keenam.

“Jadi secara umumnya, pekerja itu menikmati cuti bergaji penuh selama 360 hari berbanding perkhidmatan awam ketika ini hanya 300 hari,” katanya.

Mengenai pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak dua mata peratusan bagi golongan M40, Shamsuddin berpendapat, pengurangan itu juga seharusnya diberikan kepada semua pembayar cukai termasuk golongan T20.

Ini kerana katanya, golongan T20 perlu membayar cukai setinggi 31 peratus yang merangkumi 25 peratus cukai pendapatan peribadi dan enam peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Sebelum GST diperkenalkan, kerajaan pernah berkata keseluruhan cukai peribadi yang dibayar tidak akan lebih daripada 26 peratus, iaitu kadar sebelum GST dilaksanakan.

“Namun, sehingga kini, penurunan yang golongan T20 nikmati hanyalah satu mata. Saya berpendapat ia sepatutnya diturunkan sebanyak enam mata,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *