‘Kubur, beruk dan banjir produk pelancongan Kelantan’

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menegaskan walaupun Kelantan kaya dengan aset pelancongan namun negeri itu gagal memanfaatkannya dengan baik.

Menurut beliau, sektor tersebut pada hakikatnya boleh membantu masyarakat setempat memperbaiki ekonomi mereka.

“Pelancongan ini kita ambil daripada alam semula jadi yang kita ada. Sungai, buaya, hutan, gunung dan kubur pun pelancongan.

“Saya pergi ke Kampung Laut, Tumpat. Ada kubur lama agaknya, saya bagi tahu ketua kampung supaya bersihkan dan tulis sikit mengenainya. Baru ‘mat saleh’ minat datang tengok kubur lama,” katanya pada program Bicara Minda dan Dialog #Perjuangan4All di Kuala Krai, Kelantan, malam tadi.

1e668f0a846f96f420407e823e5440a0

Terdahulu, anggota Parlimen Padang Rengas itu memberi penerangan betapa sektor pelancongan sangat mudah menjana ekonomi negara.

Katanya, tahun lalu Malaysia mengutip RM82 bilion melalui sektor tersebut sekali gus menyumbang kira-kira RM5 juta kepada negara melalui cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Nazri berkata, di Kelantan khususnya, kerja-kerja orang kampung seperti nelayan, memetik kelapa dan sebagainya juga menjadi aset pelancongan.

“Beruk pun (produk) pelancongan. Ada orang kampung di Bachok, kebetulan saya bawa rakan dari luar negara berpeluang tengok macam mana beruk petik kelapa.

“Beruk ini pandai minum air guna straw lagi. Terkejut ‘mat saleh’ itu. Siap minta nak selfie (swafoto) dengan beruk.

Relawan pelancongan banjir

“Kemudian mereka bagi duit kepada pemilik beruk itu. Beruk buat kerja, yang dapat duit tuan dia,” ujarnya disusuli ketawa kira-kira 200 hadirin.

Tambah beliau, banyak perkara di negeri Kelantan boleh diangkat sebagai produk pelancongan termasuk kejadian banjir.

“Di Kuala Krai misalnya, banjir ini bagai pesta. Musim tengkujuh kita ada pesta banjir, mesti orang datang.

“Sebab sekarang ada volunteerism (relawan pelancongan). Orang luar negara kita datang nak buat kerja (sukarelawan) dia bayar.

“Mereka beli tiket datang nak tolong orang kena banjir, kita panggil volunteerism,” ujarnya ketika berkongsi pandangan mengenai bidang tugas di kementerian itu.

Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata Kelantan mempunyai 657, 000 tenaga kerja dan 25 peratus daripada jumlah itu merupakan penganggur.

Justeru katanya, sektor pelancongan dilihat mampu untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengelakkan masyarakat berhijrah ke luar.

 

Sumber: Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *