Ibu Suspek Tragedi Kebakaran Ittifaqiyah Sedih Dituduh Tak Reti Jaga Anak

 

Sudah hampir dua minggu berlalu, namun ia seakan-akan baru semalam terjadi. Siapa yang dapat lupakan tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang meragut 23 nyawa.

Sumber: Mstar

Meskipun kesemua suspek sudah berada di bawah tahanan polis, tragedi ini masih menjadi perbualan hangat. Keluarga suspek telah menjadi objek cemuhan masyarakat yang sering mengatakan ibu bapa mereka ini tidak pandai mendidik anak.

Namun tahukah anda akan isi hati keluarga suspek yang sebenar? 

Menerusi laporan The Malaysian Insight, wanita berusia 60-an yang juga ibu kepada salah seorang suspek telah berkongsi rasa akan apa yang dilaluinya setelah suspek ditahan polis baru-baru ini.

“Sebagai seorang ibu, saya mahukan yang terbaik buat anak-anak saya… untuk dia juga (suspek) yang merupakan anak bongsu dalam keluarga.” 

Menurut wanita tersebut, dia memahami akan kemarahan orang sekeliling ke atas anaknya dan juga dirinya. Namun, dia berharap agar masyarakat cuba memahami akan situasi yang sedang dilaluinya. Anak yang salah, kenapa ibu bapa pula yang dihukum? 

“Orang boleh cakap apa yang mereka mahu. Tapi mereka tak tahu yang apabila dia (suspek) pulang lewat, sayalah yang keluar ke tengah jalan dan pergi mencarinya.

“Mereka tidak tahu yang saya juga periksa barang-barang miliknya dan lihat bawah katilnya untuk periksa sama ada dia ada sorok apa-apa dari saya.” 

Sumber: TMI

Namun dia juga seperti ibu bapa yang lain tidak boleh setiap masa memerhati akan gerak geri anak-anaknya. Dia harus bekerja untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya dah tua, dan ia begitu payah untuk seorang ibu tunggal seperti saya mengawal dia setiap masa,” tambahnya lagi.

Dia yang juga seorang warganegara Indonesia sudah tinggal di negara ini sejak 40 tahun yang lalu. Ibu suspek berhenti menghantar anaknya ke sekolah sejak beberapa tahun lepas kerana suspek enggan lagi kembali untuk belajar di sana.

Sumber: TMI

Dia bersama empat orang anaknya tinggal di Taman Datuk Keramat, tidak jauh dari tempat kejadian. Walau bagaimanapun, ibu suspek enggan berbicara tentang anak-anaknya lain kepada media.

Menurutnya, bapa suspek yang bekerja sebagai pencuci tandas awam di belakang sekolah tahfiz itu sudah meninggalkan keluarganya beberapa tahun lalu. Namun apa yang menyedihkan, lelaki itu sudah dibuang kerja selepas tersebarnya berita penangkapan anak lelakinya. Haih sudah jatuh ditimpa tangga… 

Manakala ibu suspek pula masih lagi bekerja sebagai pembantu di pasar dengan pendapatan tidak menentu iaitu RM30 sehari.

 

Gambar hiasan

Sebak dengan apa yang menimpa kehidupannya, wanita tersebut mengaku dia pergi melawat suspek di balai pada Khamis lepas.

“Sudah semestinya dia menangis dan tidak mengaku terlibat dalam kebakaran di sekolah tahfiz tersebut. Dia juga menolak tuduhan mengambil dadah. 

“Saya hanya beritahunya untuk bercakap yang benar kepada pihak polis dan jangan takut kalau dia tidak buat apa-apa kesalahan,” kata wanita tersebut.

 

Sumber: BERNAMA

Dalam pada itu, pihak Bomba dan Penyelamat sudah menemui bukti yang menunjukkan remaja-remaja tersebut terlibat dalam kebakaran di pusat tahfiz pada 14 September lepas. Manakala pihak polis pula menyiasat kes ini sebagai kes bunuh.

“Saya tidak akan beri macam-macam alasan berkenaan anak saya. Saya juga tahu akan hukuman berat yang bakal dihadapinya jikalau dia terbukti bersalah. 

“Sebagai seorang ibu, saya hanya minta dia berkongsi segala informasi yang dia ada kepada pihak polis. Jangan selindung apa-apa. 

“Buat masa ini saya hanya mampu berdoa supaya saya punya kekuatan untuk lalui semua ini — takdir anak lelaki saya dan kemarahan masyarakat yang perlu saya lalui setiap hari,” katanya lagi.

Janganlah terlalu menyalahkan ibu bapa suspek. Bayangkan jikalau kita berada di tempat mereka. Mesti sedih juga kan? 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *