Harimau Masuk Kampung

KIRA-KIRA 100 penduduk bimbang dengan kemunculan seekor harimau sejak dua minggu lalu di Kampung Tong Lepang Anjung, Dabong, Kuala Krai.

Kehadiran harimau itu disedari sejak 3 Disember lalu selepas penduduk terserempak dengan binatang itu ketika keluar menoreh getah.

Penduduk, Rohani Mohd Nor, 33, berkata, lebih lima kali mereka terserempak dengan haiwan berkenaan.

Katanya, bapanya, Mohd Nor Awang, 66, nyaris dibaham harimau ketika sedang mengutip getah di kebun.

“Ketika itu harimau berada dalam jarak dua meter dan bapa saya terus melarikan diri walaupun keadaannya sudah uzur.

“Ayah memaklumkan kepada kami berhubung kejadian itu dan dia kini sudah tidak berani untuk keluar menoreh getah terutama selepas waktu Zohor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, situasi itu turut dialami kakaknya, Ramlah, 38, yang ‘disergah’ harimau ketika menoreh getah, semalam.

“Kakak saya berlari pulang dan meminta saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Saya hubungi APM untuk maklumkan kehadiran harimau dan berharap ia dapat ditangkap dalam masa terdekat memandangkan saiz binatang itu sangat besar menyebabkan penduduk takut.

“Namun, kami tiada pilihan dan terpaksa keluar mencari rezeki sebagai penoreh getah,” katanya.

Katanya, penduduk yang takut tidak keluar mencari rezeki dan mereka tidak tahu sampai bila harus berkurung dalam rumah memandangkan kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah penoreh getah.

Menurutnya, penduduk berharap APM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (PERHILITAN) dapat mengambil tindakan dengan menangkap haiwan itu.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *