Baru nak dibebaskan dari penjara, pemuda dari Tumpat didakwa semula akibat meliwat rakan sepenjara

Tindakan jijik seorang banduan meliwat rakan sepenjara terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, pada 29 September 2017.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh berumur 21 tahun dari Tumpat, Kelantan mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan sebagainya.

Untuk rekod, tertuduh melakukan perbuatan terbabit ketika menjalani hukuman penjara atas kesalahan samun dan dibebaskan pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, tertuduh ditahan semula selepas mangsa yang mengadu sakit dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.

Doktor mendapati mangsa diliwat sebelum perkara terbabit dilaporkan kepada pihak berkuasa. Suspek kemudiannya ditahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat mangsa yang berusia 18 tahun tanpa kerelaannya di sebuah bilik di Penjara Marang, Marang, jam 2 pagi pada Oktober lalu.

Tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali.

Sumber: Harian Metro ( https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/11/288714/pucuk-muda-penjara-diliwat-rakan-sebilik )

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *