Berdepan Masalah Akibat Nama Sama Dengan Tajuk Drama Popular

Ketika fenomena drama Manjalara kira-kira 10 tahun lalu, nama bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma dari Taman Jaya, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah, disangka mengambil nama watak drama terkenal adaptasi siri Mi Gorda Bella.

Berikutan itu, Manjalara Ab Malik, 32, terpaksa berdepan beberapa kesulitan ketika berurusan dengan orang ramai.

“Apabila memperkenalkan diri sebagai Manjalara, kebanyakan orang tidak percaya dan salah sangka, masing-masing ingat saya guna nama samaran sebab suka sangat drama lakonan Emelda Rosmila itu.

“Mereka ingat saya terkena tempias pengaruh drama itu. Sampai nak isi borang dan dokumen pun orang ingat saya sengaja isi nama samaran,” kata anak kepada pasangan Ab Malik Yatin, 66 dan A’laina Shofni Mohd Mokhtar,65, itu.

Manjalara bersama ibunya, A’laina.

Menurut Eksekutif Akaun Bina Darulaman Berhad (BDB), situasi itu memaksanya mengeluarkan kad pengenalan.

Manjalara mengakui dia hanya menonton drama itu selepas ramai rakan dan individu yang ditemui bercerita mengenai namanya yang sama dalam drama berkenaan.

Sehingga kini, katanya, walaupun kebanyakan orang sudah lupa perkara itu, dia masih berdepan situasi sama malah ada yang mengusik namanya dengan Bandar Manjalara di Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, sejak di awal persekolahan, ramai kawan sekelas di SK Sultanah Asma pelik dengan nama Manjalara.

“Sebaik diterangkan, barulah semua terkejut sebab betul-betul nama sebenar saya. Keadaan sama dilalui ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah,” katanya.

Manjalara berkata, dia ada meminta rakan memanggilnya Aja, namun mereka lebih gemar dengan panggilan Manja.

Manjalara (belakang, tiga kiri) bersama ahli keluarganya.

Berketurunan pembesar Thailand

Katanya, ketika memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dalam jurusan Sarjana Muda Perakaunan, rakan baru turut memberi reaksi serupa.

“Saya sememangnya agak manja dan bercakap lembut. Jadi, sesiapa baru kenal akan kata, betulkah nama Manjalara. Owh patutlah Manja. Anak bongsu lagi, mesti perangai Manja. Mesti kecil-kecil dulu manja, disebabkan itu nama sebegitu,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, nama Manjalara diberi keluarga ibunya yang berketurunan pembesar Thailand di Kota Bangkok, iaitu Luang Nara Borirak.

Luang Borirak memiliki anak perempuan bernama Nearng yang kemudiannya dikenal sebagai Manjalara dan berkahwin dengan Almarhum Sultan Abdul Hamid pada 1886.

Katanya, Manjalara membawa tiga adiknya dikenal sebagai Jamaliah, Manjawangi dan Che yang juga dikenal sebagai Kumpulan Empat selepas berkahwin dengan Almarhum Sultan Abdul Hamid.

Masa luang Manjalara diisi dengan menjahit.

Menurutnya, zuriat Manjalara terdiri daripada kerabat Diraja Kedah kerana beliau berkahwin dengan Almarhum Sultan Abdul Hamid.

“Sementara itu, zuriat tiga adiknya terdiri daripada orang biasa. Namun, perhubungan generasi ketiga Luang Nara Borirak kekal akrab, meskipun berbeza darjat keturunan,” katanya.

Oleh sebab mengenang keturunan mereka, Manjalara, anak bongsu dari tiga beradik itu dinamakan sempena kekanda kepada nenek moyangnya yang juga ibu Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Disebabkan itu, Manjalara bangga dengan namanya kerana dapat mengingatkan kepada keluarganya dan generasi lalu.

Pada masa lapang, Manjalara lebih gemar menghabiskan masa bersama anak lelakinya, Muhammad Aqil Muammar dan aktiviti menjahit.

Manjalara meluangkan masa bersama anak lelakinya, Muhammad Aqil Muammar.

 

Sumber: GPS Bestari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *